Skip to main content

Malaysia

Pemandu bas dipenjara tujuh bulan, denda RM8,000 kerana memandu secara berbahaya

Mohd Tamrin Ibrahim, pemandu bas
Mohd Tamrin didakwa memandu bas dengan cara berbahaya kepada orang awam di Kilometer 196.1 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran persimpangan Ayer Keroh pada 3.50 pagi 15 April. - Gambar/ Sinar Harian

ALOR GAJAH: Seorang pemandu bas ekspres dipenjara tujuh bulan dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini hari ini selepas mengaku bersalah memandu secara berbahaya, minggu lepas.

Majistret Teoh Shu Yee memerintahkan Mohd Tamrin Ibrahim, 53, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap 21 April.

Advertisement

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu hilang kelayakan memandu selama lima tahun bermula dari tarikh sabitan dan dihukum penjara lima bulan, jika gagal membayar denda. 

Teoh berkata hukuman penjara dan denda itu atas kepentingan awam, khususnya keselamatan 15 penumpang ketika kejadian.

Beliau berkata walaupun tiada kemalangan, kecederaan atau kerosakan berlaku, tertuduh perlu dipertanggungjawabkan kerana gagal menunjukkan kaedah pengendalian bas secara selamat.

Mohd Tamrin didakwa memandu bas dengan cara berbahaya kepada orang awam di Kilometer 196.1 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran persimpangan Ayer Keroh pada 3.50 pagi 15 April.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan.

Selain itu, sabitan hendaklah direkodkan pada lesen memandu dan boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin memohon hukuman berat termasuk penjara minimum setahun atas alasan kesalahan itu serius dan melibatkan keselamatan awam.

Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Kamariah Md Yusof merayu hukuman minimum terhadap anak guamnya yang menanggung keluarga dan menghidap asma.

Sebelum ini, rakaman video berdurasi satu minit 20 saat yang memaparkan seorang pemandu bas ekspres memandu dalam keadaan tidak selamat dan tidak memberikan tumpuan sepenuhnya tular di media sosial.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video