BUTTERWORTH: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes kemalangan yang menyebabkan dua guru meninggal dunia di Jalan Permatang Baru, Butterworth, awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintendan  Siti Nor Salawati Saad, berkata, pemandu kenderaan jenis BMW berusia 46 tahun itu ditahan selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurut Siti Nor Salawati, hasil siasatan mendapati  kemalangan kira-kira jam 2.30 pagi itu berlaku apabila kereta BMW yang dipandu  lelaki terbabit hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan jenis Myvi dinaiki dua guru.

“Kenderaan  jenis BMW dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan yang datang dari arah Sungai Lokan, Butterworth menghala ke arah Kepala Batas manakala pemandu dan penumpang kereta  jenis Myvi  pula datang dari arah Kepala Batas menghala ke arah Sungai Lokan.

“Apabila tiba  di lokasi kejadian, pemandu BMW dipercayai telah hilang kawalan sebelum  bertembung dengan kereta  Myvi  yang berada di laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu dan penumpang Myvi meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu BMW tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan

“Hasil ujian pernafasan ke atas pemandu terbabit  mendapati paras kandungan alkohol melebihi paras yang dibenarkan,” tambahnya.

Pemandu tersebut kini direman di Mahkamah Butterworth bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes tersebut  diminta untuk menyalurkan maklumat tersebut dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Ahmad Hafizi  Mohamad di talian 011-26967676.