IPOH: Polis menahan pemandu bas ekspres yang terbabas sebelum terbalik dalam kejadian awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata penahanan dibuat selepas pemeriksaan mendapati suspek mempunyai 19 rekod saman lampau individu bagi kesalahan trafik selain tiga rekod saman lampau bagi bas yang dipandunya itu.

"Siasatan awal juga mendapati pemandu bas terlelap seketika antara punca kejadian yang mengakibatkan dua penumpang cedera parah, manakala yang lain cedera ringan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata suspek berusia 39 tahun dan berasal dari Alor Setar, Kedah itu turut cedera di kaki.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Nahas awal pagi tadi berlaku di kawasan selekoh ketika bas berkenaan menuruni kawasan berbukit tidak jauh selepas keluar dari Terowong Menora.

BACA: Bas ekspres terbabas dekat Terowong Menora, 14 penumpang cedera

Kemalangan hanya melibatkan bas terbabit yang dalam perjalanan dari Kulim ke Kuala Lumpur dan tidak melibatkan kenderaan lain.