JOHOR BAHRU: Pemandu kereta pacuan empat roda Ford Ranger yang melanggar sebuah kereta mewah di Kilometer 34, Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, berhampiran susur keluar Sedenak, Jumaat lepas, ditahan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata ahli perniagaan wanita berusia 28 tahun berasal dari Yong Peng itu ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai kira-kira 1 pagi.

Menurutnya, wanita terbabit ditahan untuk siasatan lanjut setelah hadir menyerah diri di balai polis berkenaan.

"Wanita itu direman selama tiga hari mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Tok berkata pihaknya menjalankan siasatan susulan video tular memaparkan kumpulan konvoi kereta mewah yang berhenti di lokasi berkenaan sehingga menghalang lalu lintas, tiga hari lepas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada sebuah pacuan empat roda Ford Ranger yang cuba memotong konvoi kumpulan kereta mewah secara berbahaya sebelum melanggar satu daripada kereta itu ketika memasuki lorong kiri.

Video berdurasi 45 saat yang tular di media sosial menunjukkan kumpulan kereta mewah terbabit telah bertindak memberhentikan kenderaan mereka, dipercayai selepas pelanggaran itu, di tengah-tengah lebuh raya berikutan rasa tidak berpuas hati dan menyebabkan berlaku perselisihan faham antara mereka di lokasi kejadian.

-- BERNAMA