Lebih 70 orang pemandu Grab di Kelantan menghantar surat bantahan kepada pengurusan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini susulan insiden salah seorang pemandunya yang didakwa dipukul oleh beberapa orang pemandu teksi lapangan terbang berkenaan.

Surat berkenaan diserahkan kepada wakil Malaysia Airports Berhad (MAHB) LTSIP bagi meminta penjelasan dan ketetapan terhadap pemandu Grab yang mengambil dan menghantar penumpang ke lapangan terbang itu.

“Kehadiran kami ke lapangan terbang ini untuk hantar memorandum ke pihak Malaysia Airports, berkenaan isu pukul Grabbers kita. Sebelum ini kami terima banyak laporan dari sahabat-sahabat Grabbers Kelantan yang pemandu teksi ni kacau dia orang.

“Kalau mengikut akta, RUU telah meluluskan pada sesi Parlimen lepas bahawa perkhidmatan e-hailing ni boleh bergerak aktif di mana-mana, janji dia tak menyalahi dari segi undang-undang pengangkutan jalan, (serta peraturan) yang ditetapkan oleh Grab dan Spad,” ujar wakil pemandu Grab Kelantan, Azizi Ismail.

Dalam kejadian petang semalam, seorang pemandu Grab dipukul oleh beberapa orang pemandu teksi LTSIP selepas mengambil seorang penumpang.

Pemandu Grab yang berusia awal 20-an itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius.

Mangsa sudah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

Selepas menyerahkan surat bantahan itu, kumpulan pemandu Grab kemudiannya menemui Pengerusi Persatuan Teksi dan Pemandu Kereta Sewa LTSIP, Abdul Rashid Mamat bagi menuntut penjelasan.

Sesi perbincangan yang pada mulanya sedikit tegang kemudiannya dapat ditenteramkan oleh beberapa individu yang turut berada di situ.

Begitupun, tiada kata putus dicapai namun pihak Persatuan Teksi dan Pemandu Kereta Sewa LTSIP membenarkan pemandu Grab mengambil dan menurunkan penumpang hanya di Pintu C lapangan terbang itu.