MALAYSIA
Pemandu lori rogol anak kandung dipenjara 10 tahun, 20 sebatan

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani perintah kaunseling dan pengawasan polis selama dua tahun selepas jalani hukuman tersebut. - Gambar hiasan
KLANG: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas pertuduhan merogol anak perempuannya pada November 2024 dan Mei lalu.
Ringkasan AI
- Seorang pemandu lori dihukum penjara 10 tahun dan 20 sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan merogol anak perempuannya yang berumur 10 dan 11 tahun di Meru.
- Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak dan tertuduh menjalani kaunseling serta pengawasan polis dua tahun, sementara rayuan hukuman ringan ditolak atas alasan kesalahan sangat serius.
- Pendakwa menekankan pengkhianatan amanah seorang bapa dan trauma kekal terhadap mangsa, dengan tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 30 tahun penjara dan sebatan.
Bagi setiap pertuduhan, tertuduh dikenakan hukuman penjara 10 tahun. Namun, mahkamah memerintahkan hukuman pemenjaraan berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap, iaitu pada 14 Jun lalu.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa merogol anak perempuannya yang berusia 10 tahun di sebuah rumah di Meru, di sini, pada jam 3 petang, 10 November 2024; sementara kejadian kedua berlaku di lokasi sama, ketika mangsa berumur 11 tahun, pada jam 7 pagi, 17 Mei lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana telah insaf, selain perlu menyara anak dan isteri.
“Saya sangat menyesal atas perbuatan ini dan telah bertaubat. Saya berjanji tidak akan melakukannya lagi. Saya berharap mahkamah dapat mempertimbangkan rayuan saya dan mengurangkan hukuman,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Jannah Aimi mencadangkan agar tertuduh dikenakan hukuman berat kerana kesalahan tersebut amat serius.
“Tertuduh sebagai seorang bapa mempunyai amanah untuk menjaga dan membesarkan mangsa, namun telah mengkhianati amanah itu dengan perbuatan terkutuk.
“Mahkamah juga perlu mengambil kira trauma yang akan menghantui mangsa seumur hidup,” katanya sambil memohon agar tertuduh turut dikenakan perintah kaunseling dan pengawasan polis. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami