SEREMBAN: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) 6 November lalu.

Tertuduh Muhammad Amsyar Mohd Ali, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan mangsa perempuan berusia 21 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam lebih kurang 4 pagi di sebuah rumah di Taman Seremban 3 di sini, 6 November lalu.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Selain itu tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri telefon bimbit jenis Samsung A71 milik mangsa pada tarikh dan di lokasi sama.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Tertuduh merayu dikenakan jaminan minimum kerana akan dijamin oleh adiknya yang hanya bekerja sebagai pendawai elektrik dengan pendapatan RM1,500 sebulan selain perlu menanggung kedua ibu bapa.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,500 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan menganggu mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi dan sebutan semula kes pada 3 Januari depan. - Sinar Harian