Seorang ahli perniagaan Australia dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol, buat kali kedua.

Majistret Puteri Nursheila Rahimi turut mengarahkan supaya lesen memandu Benjamin Simon Casha, 47, digantung selama dua tahun.

Simon didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol, dengan bacaan 96mg dalam 100ml darah, yang merupakan angka melepasi paras yang dibenarkan 80mg dalam 100ml darah; di Jalan Bangsar, di sini pada pukul 11.15 malam, 15 Jun lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM6,000, dan boleh dipenjara sehingga 12 bulan.

Pegawai pendakwa Insp Abdullah Khazali menggesa mahkamah mengenakan hukuman keras memandangkan ia adalah kesalahan buat kali kedua, manakala Simon yang tidak diwakili peguam, memohon maaf dan merayu denda minimum.

-- BERNAMA