KUALA LUMPUR: Seorang pengurus sebuah kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Trafik Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Kinabalu, ibu negara pada 11 Mac lalu.

Tertuduh Mohd Nazrin Ramli, 32, membuat pengakuan berkenaan dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.

Mengikut pertuduhan, dia di tuduh memandu kenderaan Myvi di bawah pengaruh alkohol sebanyak 71 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah, melebihi 21 mg alkohol daripada had yang ditetapkan sehingga tidak berdaya mengawal kenderaan itu dan menyebabkan kematian mangsa. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kuching menghala pusat bandar di ibu negara kira-kira jam 12.10 malam, 12 Mac lalu. 

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan dibawah Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM100,000 serta hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh disabitkan kesalahan, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 pagi 12 Mac lalu, Ramli Abdul Ajit, 40, maut di lokasi kejadian selepas motosikal ditungganginya dirempuh kenderaan jenis Perodua Myvi dipandu tertuduh dari arah sama di Jalan Kinabalu ke arah Selayang, ibu negara.

Akibat rempuhan itu, mangsa dikatakan terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar tembok penghadang jalan.

Tertuduh pula mengalami kecederaan dan direman tiga hari bagi membantu siasatan.

Mahkamah menetapkan 2 Jun depan bagi sebutan semula kes.