TAPAH: Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 314.3 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat sini, pagi ini.

Mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.06 pagi.

“Kemalangan melibatkan dua buah lori. Sebuah lori membawa muatan makanan sejuk beku telah melanggar bahagian belakang sebuah treler.

“Mangsa ialah pemandu lori makanan sejuk beku, iaitu seorang lelaki, bangsa masih tidak dapat dikenal pasti, yang telah tersepit dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya lagi, ketua operasi mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) dan mengarahkan anggota mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan menyelamat.

Sabarodzi berkata, mangsa diserahkan kepada pihak KKM dan polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nizam Mohd Akhir tamat jam 7.24 pagi.