LIPIS: Seorang pemandu treler maut selepas kenderaan membawa muatan minyak diesel yang dipandunya  terbabas dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Kampung Budu-Kampung Tualang Padang, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Chu Chuan Shuang, 35, yang beralamat di Kampung Sri Parit Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang memandu secara sendirian dalam perjalanan dari Selangor menuju ke Gua Musang, Kelantan untuk menghantar minyak diesel ke lombong kuari.

"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu treler dipercayai telah gagal mengawal kenderaan semasa menuruni bukit menyebabkan treler tersebut hilang kawalan dan terbalik ke sebelah kanan jalan menghala ke arah Kampung Budu, Benta.

"Akibat kemalangan tersebut juga, sebahagian badan mangsa telah tersepit di bahagian pintu tempat duduk pemandu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Kuala Lipis.

Jelasnya lagi, hasil siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian pemandu yang gagal mengawal treler menyebabkan kenderaan terbabit hilang kawalan dan terbabas.

"Treler berkenaan mengalami kerosakan pada bumper depan dan pintu bahagian pemandu kemek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk proses bedah siasat," katanya.

Azli menambah, pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan.

Ujarnya, siasatan di lokasi kemalangan mendapati keadaan jalan berselekoh, berturap tar, sistem jalan satu lorong dua hala, terdapat garisan tengah berkembar dan menuruni bukit serta keadaan cuaca semasa kejadian cerah dan tidak hujan.