Skip to main content

Malaysia

Pemansuhan AUKU: Mahasiswa tuntut garis masa konkrit

Sumber: LinkedIn Alyaah Hani Anuar
Alyaah Hani berkata, gerakan mahasiswa masih mengambil sikap berhati-hati meskipun menyambut baik pengumuman pemansuhan akta berkenaan. - Foto LinkedIn Alyaah Hani Anuar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengemukakan tindakan dan garis masa konkrit bagi melaksanakan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), termasuk melibatkan mahasiswa dalam penggubalan kerangka perundangan baharu.

Presiden Liga Mahasiswa Malaysia, Alyaah Hani Anuar berkata, gerakan mahasiswa masih mengambil sikap berhati-hati meskipun menyambut baik pengumuman pemansuhan akta berkenaan.

Menurutnya, pengumuman tersebut perlu disusuli langkah jelas oleh kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membuktikan komitmen terhadap kebebasan mahasiswa.

“Jadi kita di peringkat gerakan mahasiswa agak skeptikal dengan pengumuman ini. Selagi mana tidak ada aksi ataupun garis masa yang konkrit dikeluarkan oleh kerajaan ataupun KPT, kita masih lagi berada dalam fasa berjaga-jaga,” katanya dalam program AWANI Pagi pada Isnin.

Alyaah berkata, mahasiswa juga perlu dilibatkan segera dalam perbincangan mengenai undang-undang atau kerangka baharu yang bakal diperkenalkan selepas AUKU dimansuhkan.

Langkah itu penting bagi memastikan AUKU tidak sekadar digantikan dengan undang-undang baharu yang mempunyai semangat dan bentuk kawalan sama.

Menurutnya, dua elemen utama yang perlu dijamin dalam kerangka baharu ialah autonomi mahasiswa dan kebebasan akademik.

Antara perkara yang perlu dinilai semula termasuk kuasa menteri dalam pelantikan naib canselor serta kuasa membubarkan organisasi mahasiswa.

Alyaah turut membangkitkan kebimbangan bahawa pemansuhan AUKU boleh menyebabkan setiap universiti menggubal peraturan dalaman berbeza, termasuk peraturan yang lebih represif terhadap mahasiswa.

Justeru, katanya, kerangka baharu perlu memastikan kebebasan yang diberikan tidak kembali disekat melalui peraturan dalaman institusi.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa pemansuhan AUKU tidak meliputi semua mahasiswa, termasuk mereka di universiti swasta dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang tertakluk kepada undang-undang berbeza.

Beliau berharap pembaharuan itu menjadi titik permulaan kepada usaha memperluas autonomi mahasiswa dan kebebasan akademik di semua institusi pendidikan tinggi negara.

 

 

Must Watch Video

Advertisement