BALING: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyokong langkah kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori yang diumumkan semalam.

Menurutnya, keputusan itu dilihat akan turut membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melengkapkan siasatan terhadap sesuatu kes yang berkaitan.

Beliau turut menegaskan bahawa langkah itu juga tidak akan memberi kesan kepada tugasan PDRM khususnya dalam menjalankan penguatkuasaan melibatkan jenayah-jenayah berat.

"Tidak betul (dakwaan akan ada peningkatan jenayah berat) sebab hukuman mati tetap ada cuma bagaimana cara untuk hakim tentukan itu terpulang kepada kebijaksanaan hakim untuk menentukan, penguatkuasaan masih lagi diteruskan.

"Kita sendiri pun memikirkan bahawa mungkin ada baik kita beri kelonggaran kepada 'death-mandatory' daripada sebab kita nak mengambil satu tindakan, kadang kala bukti itu dia 'on the thin line', (maka yang terbaik) biarlah judge menentukan," katanya.

Hamzah berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis Kenduri Raya Bersatu Baling di Dataran Pejabat Bersatu Baling, di sini pada Sabtu.

BACA: Kerajaan bersetuju hukuman mati mandatori dimansuhkan

BACA: Hukuman mati tidak dimansuhkan, pilihan budi bicara mahkamah - PM

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan langkah pemansuhan berkenaan turut akan memberi ruang kepada pihak hakim dan mahkamah dalam menentukan hukuman atau keputusan terbaik terhadap satu-satu kes.

"Biarlah hakim yang menentukan orang itu harus diberikan hukuman gantung ataupun hukuman seumur hidup daripada (hukuman mati) mandatori sebab kadang-kadang saya nampak hakim agak di kedudukan serba salah kerana kurang pastian sama ada hukum gantung atau seumur hidup.

"(Atas) sebab itu bila ada kelonggaran ini, ia memberi ruang untuk hakim memikirkan tanggungjawab dia, kerana mereka orang yang benar-benar tahu dan mendengar masalah dalam mahkamah, bukti dalam mahkamah, biarlah dia menentukan, sebab itu saya menyokong," katanya lagi.

Pada Jumaat, Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun 2022.

Kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut.