Skip to main content

Dunia

Parti Buruh Malta menang pilihan raya awal Parlimen

Supporters of Malta's Labour Party celebrate after the party won the general election, in Hamrun, Malta May 31, 2026. REUTERS/Darrin Zammit Lupi
Parti Buruh Malta memenangi pilihan raya awal parlimen pada Ahad sekali gus berjaya mengekalkan pentadbiran untuk penggal keempat berturut-turut.

VALLETTA: Parti Buruh Malta memenangi pilihan raya awal parlimen pada Ahad sekali gus berjaya mengekalkan pentadbiran untuk penggal keempat berturut-turut, lapor agensi berita Xinhua.

Pemimpin Parti Buruh yang juga Perdana Menteri Malta Robert Abela dalam satu temu bual bersama media tempatan menyatakan bahawa parti itu telah melakar sejarah dengan memperoleh kemenangan keempat berturut-turut.

Beliau berkata parti itu kini akan melaksanakan program pilihan rayanya dan menyeru kepada perpaduan nasional, selain menggesa para penyokong untuk meraikan kemenangan itu dengan penuh rasa hormat.

Setiausaha Agung parti pembangkang, Parti Nasionalis, Charles Bonello mengesahkan kekalahan parti itu ketika melawat dewan pengiraan undi, dengan menyatakan bahawa angka menunjukkan Parti Buruh memenangi pilihan raya berkenaan dengan majoriti sekitar 18,000 undi, menurut laporan media tempatan.

Pemimpin Parti Nasionalis, Alex Borg menerusi perutusan video di media sosial berkata beliau telah menghubungi Abela bagi mengucapkan tahniah atas kemenangan itu.

"Rakyat telah bersuara, dan kita mesti menghormati keputusan mereka.

Ini bukan keputusan yang kami mahukan, tetapi ia adalah mesej yang sangat jelas. Kami akan terus berusaha untuk menjadi alternatif yang kuat untuk negara," katanya.

Keputusan rasmi, termasuk senarai penuh ahli parlimen yang dipilih, dijangka diumumkan lewat Ahad atau awal pagi Isnin.

Kemenangan ini menandakan mandat pilihan raya kedua buat Abela selaku pemimpin Parti Buruh dan Perdana Menteri.

Beliau mengambil alih jawatan berkenaan daripada Joseph Muscat susulan peletakan jawatan pemimpin itu pada awal 2020, sebelum menerajui parti itu menuju kemenangan dalam Pilihan Raya Umum 2022.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement