Kementerian Kesihatan telah menjalankan pemantauan terhadap bazar Ramadan bagi memastikan kebersihan dan keselamatan pengguna terjamin dalam pengambilan makanan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemantauan telah mula dibuat sebelum bermulanya bulan Ramadan lagi.

“Pemantauan dibuat di peringkat sumber meliputi bahan mentah dan tempat penyediaan bagi peniaga-peniaga yang dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kementerian turut menekankan aspek keselamatan makanan termasuk memastikan pengendali makanan mendapat suntikan pelalian anti tifoid, kebersihan pengendali makanan, amalan pengendalian manakan dan tahap kebersihan gerai,” katanya.

Menurutnya, selain pemeriksaan yang dijalankan Kementerian Kesihatan juga giat menjalankan beberapa aktiviti promosi berkenaan keselamatan dan kebersihan makanan.

“Antaranya iklan promosi ’Perhati dan Pilih’ melalui saluran radio di sepanjang bulan Ramadan. Aktiviti promosi yang dijalankan bertujuan untuk mendidik pengguna untuk sentiasa peka mengenai aspek kebersihan dan keselamatan makanan semasa membeli dan memilih makanan di bazar Ramadan untuk mengelakkan keracunan makanan.

“Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan makanan,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan agar menggunakan kuasa pembeli yang ada pada mereka dengan hanya membeli makanan di premis makanan yang bersih.

Sekiranya pengguna merasa ragu-ragu dengan status keselamatan sesuatu makanan yang dijual di bazar Ramadan, pengguna boleh memaklumkan Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman web http://fsq.moh.gov.my/v3 dan juga laman Facebook rasmi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia www.facebook.com/bkkmhq.