KOTA TINGGI: Kerajaan Johor akan memastikan lebih banyak peti peralatan keselamatan Life Saving Appliances (LiSA) dipasang di lokasi tumpuan ramai khususnya di pantai bertujuan membendung kes lemas di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata setakat ini terdapat tiga unit LiSA yang dipasang di Johor iaitu di Pantai Awam Desaru, Pantai Batu Layar, di sini, dan Gunung Ledang Resort, Tangkak.

Beliau berkata satu lagi unit LiSA akan ditempatkan di Pantai Tanjung Balau, di sini, dijangka sebelum hujung tahun ini.

"Peti keselamatan LiSA ini membawa kebaikan kepada orang awam dan perlu ditambah terutama di semua kawasan pantai. Mungkin dalam permohonan belanjawan akan datang, kerajaan negeri akan memperuntukkan bagi menambahnya," katanya ketika mengulas keperluan menambah LiSA di Johor.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air Peringkat Negeri Johor di Pantai Awam Tanjung Balau, di sini pada Sabtu.

Turut hadir Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Ahmad Izram Osman dan Pengarah JBPM Johor Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Siti Rohani Nadir.

Peti keselamatan LiSA mempunyai beberapa peralatan seperti jaket keselamatan, peti pertolongan cemas dan tali yang boleh digunakan orang awam untuk bantuan awal menyelamatkan mangsa, selain dilengkapi siren amaran kepada pengunjung dan memberikan notifikasi kepada balai berdekatan.

Mohd Jafni berkata sebanyak 276 kes operasi menyelamat mangsa lemas direkodkan di negeri ini melibatkan 110 kematian dan 13 orang cedera sejak 2021 hingga September lepas.

Menurutnya JBPM Johor juga telah mengesan 432 lokasi hotspot banjir, sekali gus menekankan kepentingan pemasangan LiSA yang boleh digunakan ketika kecemasan.

Beliau pada masa sama mengharapkan agar Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air anjuran JBPM Johor dengan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara itu, dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menjaga keselamatan bagi mencegah insiden lemas.

Sementara itu, Siti Rohani berkata antara aktiviti yang diadakan sempena kempen tersebut ialah program Jom Belajar Berenang, Simbol dan Papan Tanda, Asas Menyelamat, Tips Keselamatan di Air, dan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR).

Beliau berkata orang ramai juga diberi pendedahan tentang kemahiran menyelamat nyawa jika berdepan kejadian lemas.

-- BERNAMA