KUALA LUMPUR: CyberSecurity Malaysia, Celcom Axiata Bhd dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) telah memulakan fasa pertama pemasangan Makmal Ujian Keselamatan Siber 5G di Cyberjaya.

Diumumkan pada Februari lepas, makmal itu bukan sahaja menjalankan kes ujian melibatkan teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) dan keselamatan telekomunikasi, malah, akan membantu meningkatkan kesediaan Malaysia untuk bertindak balas terhadap serangan siber berkaitan 5G.

Dalam kenyataan bersama hari ini, ketiga-tiga pihak berkata fasa pertama pemasangan yang sedang dilaksanakan melibatkan kerja-kerja membekal dan memasang alat 5G Huawei seperti teras 5G, rangkaian akses radio 5G (RAN), unit jalur asas (BBU), unit radio jauh (RRU) 4G dan 5G, dan sistem tenaga telekom dalaman, bagi pembangunan ekosistem dan tapak uji 5G.

"Dalam fasa ini, Celcom akan menerajui pembangunan makmal ujian melibatkan penyediaan teknologi dan sokongan teknikal 4G seperti konfigurasi alat dan kad SIM ujian.

"Selain itu, fasa pertama ini turut membabitkan CyberSecurity Malaysia yang memohon kelulusan daripada badan kawal selia bagi penggunaan percubaan spektrum 5G dan alat 5G, pelancaran program membina kecekapan seperti bengkel teknikal 5G dan sesi latihan keselamatan siber, serta penyertaan dalam program antarabangsa bagi memenuhi syarat operasi makmal 5G dan meningkatkan keupayaan dan pengetahuan pasukan makmal ketiga-tiga pihak sebagai persediaan ke fasa dua," katanya.

Menurut kenyataan itu, pemasangan makmal bagi fasa dua akan melibatkan terutamanya Skim Jaminan Keselamatan Peralatan Rangkaian (NESAS) dan proses akreditasi Spesifikasi Jaminan Keselamatan (SCAS), penggunaan alat dan kaedah ujian, dan pelancaran perkhidmatan ujian perkhidmatan siber 5G.

Katanya Makmal Ujian Keselamatan Siber 5G itu adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan akan dilancarkan pada akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CyberSecurity Malaysia Datuk Amirudin Abdul Wahab berkata objektif penubuhan makmal ujian itu adalah untuk menilai dan menguji rangkaian 5G dan produk yang berkaitan seperti peranti 5G, perisian tegar dan aplikasi yang merangkumi peranti IoT, kenderaan berautonomi dan penjagaan kesihatan pintar.

Beliau berkata, melalui pembangunan makmal ujian ini, CyberSecurity Malaysia berhasrat mengembangkan kebolehan dan kepakarannya dalam penilaian keselamatan dan ujian teknologi 5G, serta memperkukuh kedudukannya sebagai agensi pakar dalam keselamatan siber negara.

Menurut CEO Celcom Idham Nawawi, syarikat itu menjangka 5G bukan sahaja akan memanfaatkan industri pelbagai vertikal, malah, merangkumi keseluruhan ekosistem digital berikutan cabaran dalam norma baharu yang memerlukan pengguna untuk lebih bergantung kepada digital dalam keperluan kerja, pembelajaran dan perniagaan mereka.

"Inisiatif ini adalah sejajar dengan aspirasi Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang menyasarkan Malaysia untuk bersedia 5G," katanya.

Sementara itu, CEO Huawei Malaysia Michael Yuan berkata berikutan digitalisasi industri yang pesat dan teknologi baharu, ruang siber menjadi semakin kompleks berbanding sebelum ini, disokong oleh hakikat bahawa orang ramai telah menghabiskan sebahagian besar masa mereka secara dalam talian di sepanjang pandemik COVID-19.

Beliau berpendapat risiko keselamatan siber adalah tanggungjawab bersama dan menurutnya semua pihak perlu bekerjasama untuk mewujudkan persekitaran digital yang boleh dipercayai, sekali gus dapat menangani cabaran pada masa kini dan akan datang.

-- BERNAMA