Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Pemasangan tenaga solar di sekolah bantuan kerajaan mampu jimat bil elektrik - Wong

41759146731_WONGKAHWOH.jpg
Kah Woh berkata menerusi projek seumpama itu pihak sekolah dijangka dapat menikmati penjimatan bil elektrik sekitar RM1,500 hingga RM1,700 sebulan atau kira-kira RM382,000 dalam tempoh 20 tahun. - Foto fail
Advertisement

IPOH: Projek rintis pemasangan sistem penjanaan tenaga solar di Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) dilihat berpotensi besar untuk diperluaskan ke lebih banyak sekolah sedemikian bagi menjimatkan perbelanjaan kos bil elektrik. 

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata menerusi projek seumpama itu pihak sekolah dijangka dapat menikmati penjimatan bil elektrik sekitar RM1,500 hingga RM1,700 sebulan atau kira-kira RM382,000 dalam tempoh 20 tahun menerusi pendekatan Zero CAPEX iaitu pemasangan panel solar tanpa sebarang kos kepada sekolah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan projek rintis pertama Sistem Penjanaan Tenaga Solar Program Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0  di Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sam Chai Ipoh, di sini, pada Isnin. 

Projek rintis pemasangan sistem penjanaan tenaga solar itu merupakan inisiatif Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ipoh Timur dengan kerjasama GSPARX Sdn Bhd, anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan badan pemikir dan advokasi Malaysia100.

“Hari ini kita dengan usaha daripada Ahli Parlimen kawasan Ipoh Timur (Howard Lee) telahpun berjaya melaksanakan projek sistem penjanaan tenaga solar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sam Chai.  

“Dalam masa yang sama (pelaksanaan program) ini membuka satu formula ataupun satu model baharu khas bagi sekolah bantuan kerajaan bagaimana untuk menikmati penjimatan dari segi bil elektrik di bawah dasar kerajaan untuk membangunkan tenaga baharu di negara ini,” katanya. 

Wong berkata selain menjana elektrik untuk kegunaan sendiri, model itu membolehkan SBK menggunakan lebihan tenaga untuk dijual semula kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), sekali gus membantu mengurangkan beban kewangan lembaga pengelola sekolah.

Katanya pemasangan sistem solar di sekolah turut menjadi platform pendidikan kepada murid untuk memahami kepentingan tenaga boleh baharu dan pemeliharaan alam sekitar melalui pengalaman secara langsung.

“Kita bukan sahaja mengajar mengenai tenaga boleh baharu dalam buku teks, tetapi murid dapat melihat sendiri bagaimana sistem ini berfungsi dan bagaimana ia membantu memelihara bumi dan nilai itu perlu dipupuk sejak kecil,” katanya. 

Sementara itu, Howard Lee berkata pihaknya telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama 15 lagi sekolah bagi melaksanakan projek tersebut. 

Beliau berkata model kerjasama yang dibangunkan bersama GSPARX itu selepas rundingan selama lebih setahun kini boleh dijadikan rujukan oleh SBK lain di seluruh negara.

“Hasil rundingan tersebut berjaya menghasilkan satu format, model serta terma rujukan yang boleh dijadikan panduan oleh sekolah lain, khususnya sekolah bantuan kerajaan yang berdepan keperluan lebih mendesak untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan menjimatkan kos bil elektrik,” katanya.

Beliau berkata model yang dibangunkan itu akan diperluaskan ke kawasan lain termasuk Teluk Intan, Taiping dan Bagan Serai, dengan Malaysia100 terus menawarkan khidmat fasilitasi kepada sekolah yang berminat melaksanakan inisiatif berkenaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement