Skip to main content

Malaysia

Pemasyhuran Tunku Panglima Besar hak prerogatif Yang Dipertuan Besar - Pakar

KUALA PILAH, 11 Jun -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan mengurniakan watikah dan pelantikan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar kepada anakanda Tunku Zain Al-'Abidin pada Istiadat Pengurniaan dan Perisytiharan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tuanku Muhriz (kiri) berkenan memasyhurkan Tunku Zain sebagai penyandang Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, 11 Jun 2026. - Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Pemasyhuran Tunku Zain Al-'Abidin sebagai Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan merupakan hak dan kuasa prerogatif Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Menurut Pakar Undang-Undang, Prof Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal, jawatan berkenaan merupakan lantikan pusaka dalam institusi diraja Negeri Sembilan.

Jelasnya, pemasyhuran ini tidak melibatkan Perkara 26 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang berada di bawah bab (Darjah Kebesaran dan Kemuliaan) di mana Yang Dipertuan Besar perlu berbincang dengan Undang untuk memberi pingat atau anugerah.

“Dalam hal ini, bukan soal nak bagi pingat baharu, tetapi ini adalah anugerah pusaka,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI semalam.

Tambahnya pemasyhuran ini sekali gus menjadikannya sebahagian daripada kelompok Putera Yang Empat yang turut merangkumi Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Laksamana dan Tunku Muda Serting.

Beliau turut diminta mengulas mengenai persoalan bahawa pemasyhuran tersebut perlu mendapat persetujuan Undang Yang Empat sebagaimana Tunku Naquiyuddin sebagai Raja Yang Dipertuan Muda Negeri Sembilan ketika pemerintahan Almarhum Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Kata Noor Aziah, hal tersebut perlu dibezakan daripada pemasyhuran Raja Yang Dipertuan Muda atau pemangku Yang Dipertuan Besar yang menjalankan tugas baginda ketika berada di luar negara atau ketika memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong.

"Dalam perkara itu, Perlembagaan Negeri jelas memperuntukkan bahawa pelantikan seorang Raja Yang Dipertuan Muda perlu melalui perbincangan serta mendapat persetujuan Undang Yang Empat,” katanya lagi.

Pada Khamis, Tunku Zain dimasyhurkan sebagai penyandang Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta.

Pemasyhuran itu dibuat susulan kekosongan gelaran pusaka berkenaan selepas penyandang terdahulu, Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, tidak lagi memegang gelaran tersebut.

Pada 9 Jun lalu, pihak Istana Besar Seri Menanti memaklumkan, Tunku Nadzaruddin telah melepaskan gelaran Tunku Panglima Besar selepas tindakannya menerima pengisytiharan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam satu majlis di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun.

Must Watch Video

Advertisement