BERLIN: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia perlu berusaha ke arah mencapai garis panduan dan pematuhan antarabangsa untuk menembusi pasaran global.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata pihaknya menyediakan garis panduan untuk pematuhan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi industri berkaitan.

Beliau berkata pematuhan sedemikian penting kerana pasaran utama dunia seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah mensyaratkan pematuhan ESG sebagai kriteria kemasukan produk atau perkhidmatan.

"Kita mahu PKS memenuhi kriteria sedemkian, termasuk pensijilan halal. Justeru, lebih mudah kementerian ini untuk mendorong PKS ke pasaran eksport dan menyertai ekspo seperti ini," katanya di luar acara SME Future Day di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama pada acara anjuran Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Jerman (BVMW) dan melawat reruai Malaysia.

Ewon berkata terdapat 1.1 juta PKS di Malaysia pada masa ini, kebanyakannya adalah perusahaan mikro, dan lebih 16,000 koperasi dengan jumlah keahlian lebih tujuh juta orang.

Beliau berkata kementerian melalui SME Bank dan SME Corp membawa enam syarikat Malaysia menyertai ekspo itu, dengan harapan dapat membantu mereka menembusi pasaran Jerman dan Eropah.

Syarikat itu ialah Marniq Bersatu Sdn Bhd, Primelux Energy Sdn Bhd, Ade Azhar Trading Sdn Bhd, 59Kopa Sdn Bhd, Marrybrown dan Old Town White Coffee.

Kementerian itu juga telah merangka Program Eksport Perniagaan (BEP) di bawah SME Bank dan Program Insentif Eksport Bumiputera (GEB) oleh SME Corp untuk menggalakkan eksport, katanya.

"Kita berharap lebih banyak syarikat akan menyertai program ini. Saya telah memohon belanjawan yang lebih besar untuk kementerian daripada Perdana Menteri supaya kita boleh membawa lebih ramai usahawan ke ekspo luar negara," katanya.

-- BERNAMA