BUKIT MERTAJAM: Sebuah premis perniagaan kitar semula kayu palet terpakai di Juru Estate, Bukit Mertajam dikompaun  RM4,000 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang kerana melakukan pembakaran terbuka.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata kompaun itu dikeluarkan berikutan premis berkenaan didapati melakukan pembakaran terbuka ke atas kayu palet yang mahu dilupuskan.

Siasatan mendapati premis berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"JAS negeri turun melakukan siasatan ke atas premis itu berdasarkan maklumat orang awam.

"Siasatan oleh pegawai JAS mendapati aduan yang diterima berasas dan kompaun RM4,000 dikeluarkan atas kesalahan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, syarikat-syarikat yang menghantar kayu palet untuk kitar semula digesa untuk memeriksa premis penerima bagi memastikan bahan yang dihantar boleh dikitar semula dan bukan dilupuskan secara pembakaran terbuka.

"Pihak JAS memandang serius isu pembakaran terbuka dan tindakan yang lebih tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan sama," katanya.

Selain itu, JAS negeri juga telah mengaktifkan beberapa pasukan rondaan selepas waktu bekerja bagi mencegah pencemaran dan pembakaran terbuka

Tegasnya, sebarang kesalahan akan diambil tindakan sewajarnya iaitu kompaun atau tindakan mahkamah dengan denda maksima RM500,000.