IPOH: Penyediaan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Ipoh amat diperlukan pada masa depan memandangkan bandar raya itu dalam perancangan untuk menjadi bandar wilayah selepas 2035.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata berdasarkan perbincangan, bandar raya itu sedang dibangunkan menjadi wilayah baharu dan pusat kepada daerah terdekat antaranya Kinta, Kampar, Batang Padang, Cameron Highlands, Kuala Lipis dan Gua Musang.

"Yang ini (bandar wilayah) memang fokus kita dan harap akan menjadi penyumbang kepada wilayah tengah dengan negeri Perak mungkin wilayah kepada Pahang barat dan Kelantan selatan," katanya pada sidang media Majlis Meraikan Delegasi Kelab Wartawan Terengganu Ke Bandar Raya Ipoh di taman tema Lost World Of Tambun di sini malam tadi.

Sebelum ini dilaporkan 28 stesen LRT dicadangkan dibangunkan di bandar raya Ipoh melibatkan jarak keseluruhan 58 kilometer (km).

Menurut Draf Rancangan Tempatan Bandar Raya Ipoh 2035 (Penggantian) yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), cadangan projek mewujudkan perkhidmatan LRT itu melibatkan dua laluan yang masing-masing melalui 16 stesen.

Laluan Meru Raya-Ipoh-Batu Gajah meliputi jarak laluan sejauh 30km manakala laluan Bandar Sunway-Ipoh-Simpang Pulai pula sejauh 28km dan kekerapan perkhidmatan adalah selama enam minit.

Sementara itu, Rumaizi berkata pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) melibatkan kawasan seluas 1,139.2 hektar yang telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri di bawah perancangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) juga antara faktor utama yang akan menarik orang ramai ke Ipoh.

Beliau berkata SVTP merupakan satu taman perindustrian baharu di Chemor dan dijangka memacu sektor pembuatan berteknologi tinggi serta bertindak sebagai pemangkin Revolusi Industri 4.0.

"Ia akan menumpukan seluruh industri digital bukan sahaja Perak malah seluruh Malaysia, jadi bayangkan berapa ramai akan datang.

"Pada 2035 kita akan siapkan aspek infrastruktur dan Ipoh bukan lagi pekan orang tua tetapi akan menjadi pekan orang muda sebab pendigitalan serta banyak peluang kerja sebagai jurutera perisian," katanya.

Rumaizi berkata pembangunan LRT di Ipoh seiring dengan perancangan tempatan negeri lain seperti bandar raya Pulau Pinang, bandar Iskandar Puteri di Johor, bandar raya Seremban di Negeri Sembilan dan bandar raya Melaka.

Beliau berkata pelbagai pembangunan sedang diusahakan supaya bandar raya Ipoh tidak ketinggalan kerana ia merupakan bandar raya kedua terbesar di wilayah utara selepas Pulau Pinang dan antara terawal memperoleh status bandar raya pada 1988.

-- BERNAMA