KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah,pembangunan fizikal termasuk pembinaan masjid perlu berjalan seiring dengan pembangunan rohani masyarakat bagi memastikan institusi itu terus berfungsi sebagai nadi kehidupan umat Islam.
Sehubungan itu, baginda menyeru semua pihak termasuk pengurusan masjid, agensi kerajaan serta masyarakat setempat agar berganding bahu memastikan masjid sentiasa diimarahkan dan kekal relevan sebagai institusi penting dalam pembentukan ummah.
Advertisement
Baginda bertitah, masjid tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai tempat menunaikan ibadah solat, sebaliknya, perlu berperanan sebagai pusat pembangunan ummah, medan penyatuan masyarakat serta pusat penyebaran ilmu dan dakwah.
“Masjid juga harus berfungsi sebagai pusat pembentukan akhlak dan sahsiah bagi melahirkan generasi yang berilmu, beriman dan beramal soleh,” titah baginda.
Menurut Tuanku Syed Sirajuddin, pengimarahan masjid tidak seharusnya terhad kepada solat berjemaah sahaja, sebaliknya perlu diperluaskan melalui penganjuran program pengajian ilmu, pembangunan belia, kebajikan masyarakat serta pengukuhan institusi kekeluargaan.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Al-Kauthar di Kampung Paya, Beseri, di sini, pada Jumaat.
Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Majlis perasmian berkenaan merupakan acara penutup sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selama setahun, serta menjadi pembuka tirai kepada Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-83 yang bakal diraikan pada 17 Mei depan.
Masjid Al-Kauthar yang baharu itu kini menjadi mercu tanda baharu di kawasan Beseri, menggantikan struktur lama bagi memenuhi keperluan komuniti setempat yang semakin berkembang.
Pada majlis sama, Tuanku Raja Perlis turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian masjid dan mengurniakan surat penghargaan kepada para pewakaf sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan komitmen mereka dalam merealisasikan pembinaan masjid berkenaan.
Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak termasuk pewakaf, penyumbang serta individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan pembinaan masjid itu, sambil menyifatkan sumbangan berkenaan sebagai amal jariah yang pahalanya akan terus mengalir selagi masjid dimanfaatkan umat Islam.
Tuanku Syed Sirajuddin turut berharap Masjid Al-Kauthar akan terus menjadi pusat penyatuan ummah, pusat penyebaran ilmu serta simbol kekuatan dan keutuhan Islam di negeri Perlis.
Sebagai rekod, pembinaan semula Masjid Al-Kauthar di Kampung Paya bermula pada penghujung 2021 melibatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM3.5 juta, selain sokongan wakaf dan sedekah jariah masyarakat berjumlah RM4.4 juta.
Allahyarham Datuk Ar Abu Hassan Salleh dikenang atas keikhlasan mewakafkan kepakaran beliau, manakala Datuk Roszali Othman berperanan besar sebagai Pengerusi Pembinaan yang gigih menggerakkan kutipan dana sehingga projek berkenaan berjaya direalisasikan.