KUALA LUMPUR: Muzikal ikonik Puteri Gunung Ledang bakal dipentaskan semula dalam sebuah produksi baharu, sekali gus membuka peluang kepada generasi pelapis untuk menjadi sebahagian daripada legenda seni persembahan tanah air.
Penerbit dan pengarah teater terkenal, Puan Sri Tiara Jacquelina mengumumkan, uji bakat bagi pementasan terbaharu Puteri Gunung Ledang The Musical kini dibuka secara rasmi, susulan sambutan hangat terhadap teaser terbaharu karya berkenaan.
Advertisement
Menurut Tiara, klip videp promosi yang dikongsi di media-media sosial bukan sahaja mencetuskan semula keterujaan penonton, malah mengingatkan mengapa Puteri Gunung Ledang muncul sebagai fenomena budaya yang penting — bermula sebagai filem ikonik sebelum berkembang menjadi antara muzikal paling digemari dan diraikan di Malaysia.
Beliau berkata, produksi terbaharu ini diarahkan sendiri olehnya dan bakal menampilkan barisan pelakon baharu yang akan menghidupkan semula watak-watak ikonik seperti Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah, Sultan, Adipati, Bayan dan lain-lain.
“Kami mencari penghibur yang mempunyai kebolehan lakonan, nyanyian dan pergerakan yang kuat, serta kejujuran emosi, kehadiran pentas dan kecintaan mendalam terhadap penceritaan,” katanya kepada Astro AWANI.
Tiara berkata, usaha ini bertujuan menampilkan generasi baharu bakat seni untuk membawa kisah legenda itu ke era seterusnya.
Mengimbas perjalanan kreatifnya, Tiara menyifatkan Puteri Gunung Ledang bukan sekadar sebuah filem atau muzikal, sebaliknya antara pengalaman seni paling bermakna dalam hidupnya.
“Sejak tahun 2004, saya membawa bersama cerita ini, dunianya dan begitu banyak kenangan indah. Alhamdulillah.
"Melihat semula limpahan kasih dan keterujaan ini benar-benar mengharukan. Seolah-olah sesuatu yang berharga, yang lama tersimpan dalam hati kita, kini mula terjaga kembali,” kata Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia dan Festival Filem Asia Pasifik itu lagi
Menurutnya, pementasan terbaharu ini bukan sekadar mengembalikan karya yang dicintai penonton, tetapi membuka ruang kepada generasi baharu untuk memiliki dan menafsirkan Puteri Gunung Ledang dengan cara mereka sendiri.
Dalam masa sama, kata Tiara, beliau secara peribadi turut keterujaan untuk melihat bakat-bakat baharu yang bakal muncul melalui proses uji bakat ini.
“Uji bakat kini dibuka secara rasmi, dan saya berharap perjalanan ini akan menemukan bakat baharu yang luar biasa, kerana peluang untuk menjadi sebahagian daripada produksi seperti Puteri Gunung Ledang mungkin hanya datang sekali dalam seumur hidup,” katanya.
Ikon seni persembahan negara
Sebagai rekod, Puteri Gunung Ledang The Musical bermula sebagai sebuah filem epik sebelum mencatat kejayaan sebagai fenomena teater muzikal yang habis terjual, memikat penonton di Malaysia dan Singapura.
Muzikal ini telah ditonton lebih 100,000 penonton, meraih pelbagai anugerah dan terus diingati sebagai antara karya paling berpengaruh dalam sejarah seni persembahan Malaysia.
Pementasan terbaharu ini menandakan permulaan bab baharu bagi legenda tersebut, dengan uji bakat kini dibuka bagi memilih barisan pelakon segar untuk menerajui kisah Puteri Gunung Ledang ke generasi akan datang.
Maklumat lanjut mengenai uji bakat boleh didapati menerusi akaun rasmi @pglthemusical di semua platform media sosial.