KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan memastikan Selat Melaka kekal neutral daripada pengaruh kuasa luar.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Selat Melaka merupakan laluan perdagangan maritim paling penting di dunia.
Advertisement
Tambahnya, peningkatan kuasa asing melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan China berisiko meningkatkan ketegangan geopolitik dan menggugat kestabilan serantau.
“Konfrontasi ekonomi yang semakin melebar antara Washington dan Beijing terus meningkatkan keperluan untuk Malaysia mengekalkan dasar luar yang bebas dan seimbang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Takiyuddin, dasar Malaysia mendukung prinsip Asia Tenggara sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) kekal relevan pada ketika
persaingan geopolitik semakin meningkat di Asia.
“Dasar luar yang bebas dan berprinsip amat penting bagi melindungi kepentingan jangka panjang negara serta kestabilan serantau,” katanya.
Pada masa sama, Takiyuddin turut menggesa kerajaan agar memantau rapat perkembangan geopolitik dan ekonomi melibatkan kuasa-kuasa besar dan memastikan Malaysia tidak terheret ke dalam persaingan strategik atau ekonomi asing.
Beliau turut menekankan kerjasama ASEAN bagi memastikan kestabilan serantau.
“Malaysia perlu terus menggalakkan dialog, penyuraian ketegangan dan mengutamakan penyelesaian pertikaian secara aman,” katanya lagi.