Pembangunan pesat yang tidak terkawal merupakan antara punca banjir kilat di Pulau Pinang baru-baru ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata pelaksanaan projek-projek tidak terkawal menyebabkan terkumpulnya kelodak dalam sistem perparitan sedia ada dan juga sungai.

"Pihak kerajaan negeri perlu memastikan program pembangunan dilaksanakan secara lestari dengan mengambil kira kebajikan rakyat dan bukannya menuding jari kepada kerajaan persekutuan apabila berlaku banjir kilat," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan dan sambutan Hari Inovasi kementerian di Wisma Sumber Asli di sini hari ini.

Wan Junaidi menegaskan pelaksanaan projek-projek tebatan banjir tidak menjamin kejadian banjir tidak berulang sekiranya pembangunan yang pesat di kawasan tadahan lembangan sungai tidak dikawal di peringkat punca.

Dalam tempoh sebulan, Pulau Pinang dilanda banjir kilat dan tanah runtuh sebanyak lima kali dan terbaru pada Isnin lepas di mana jalan utama menghubungkan pusat bandar dan Teluk Bahang ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah dan jalan raya runtuh di Jalan Ujung Batu, Teluk Bahang.

Wan Junaidi berkata berdasarkan kajian hidraulik juga didapati saiz saluran Sungai Pinang sedia ada tidak dapat menampung aliran puncak ketika hujan lebat di kawasan tadahan.

Beliau berkata ia perlu dinaik taraf dengan mendalam, melebar dan menstabilkan tebing supaya dapat menampung aliran sekurang-kurangnya pada tahap tempoh purata 100 tahun.

"Impak banjir di kawasan lembangan Sungai Pinang akan menjadi lebih buruk sekiranya sistem saliran di sungai utama yang dinaik taraf tanpa mengambil kira penaiktarafan saluran Sungai Pinang," katanya.

Wan Junaidi berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, kerajaan pusat meluluskan RM150 juta untuk Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pinang dan siling pelan pelaksanaan kedua tahun 2017 adalah sebanyak RM1 juta.

"Kerja-kerja awalan akan dilaksanakan pada tahun depan," katanya.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata laporan siasatan Jabatan Alam Sekitar berhubung pencemaran najis babi di Sungai Giling di Kampung Batu Laut, Sepang, Selangor dijangka siap dalam tiga hari.

Beliau mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar untuk menjalankan siasatan dan mencari jalan penyelesaian terbaik demi kesejahteraan penduduk di kawasan itu.

"Kita tunggu laporan dengan syor agar kita boleh mengadakan perbincangan dengan semua pihak terlibat sama ada menempatkan semula (ladang penternakan babi) ke tempat yang sesuai dan lebih jauh dari penempatan manusia.

"Perkara ini perlu mengambil kira kepentingan semua pihak," katanya.

Sebelum itu, Wan Junaidi melancarkan Sistem Online Consent, satu sistem di bawah tanggungjawab Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian yang menyeragamkan borang permohonan yang berbeza bagi memudahkan orang awam berurusan dengan Pentadbiran Tanah dan mempercepatkan proses permohonan kebenaran pindah milik, gadaian dan pajakan di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Dengan sistem online itu, borang-borang diseragamkan kepada dua muka surat sahaja dan boleh diakses dalam talian di mana-mana dan bila-bila sahaja.

Tempoh pemprosesan juga disasarkan dikurangkan kepada tiga hari berbanding 14 hari sebelumnya.

Borang permohonan itu juga ditambah baik dengan hanya 42 perkara perlu diisi berbanding 74 perkara pada borang lama, dokumen sokongan yang perlu disertakan bersama borang permohonan dikurangkan daripada 40 dokumen kepada antara lapan ke 19 dokumen sahaja.

-- BERNAMA