LUMUT: Seorang pembantu kebun sayur dipenjara 18 bulan dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini selepas mengaku bersalah menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Seri Manjung, Khamis lepas.

Muhamad Faizzuan Zulkifli, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.

Mahkamah memerintahkan Muhamad Faizzuan menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan pada 20 Mei lepas dan dia turut berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Faizzuan didakwa menculik kanak-kanak perempuan itu daripada penjagaan ibunya di hadapan sebuah premis di Seri Manjung pada 11.30 pagi, 20 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

BACA: Kanak-kanak perempuan lalui detik cemas kereta ibu dilarikan penagih dadah

Mengikut fakta kes, pengadu iaitu ibu kanak-kanak itu berada dalam premis terbabit kira-kira 15 minit sebelum menghantar pesanan di aplikasi WhatsApp kepada anaknya yang berada di dalam kereta tetapi tidak berjawab.

Wanita berumur 37 tahun itu yang keluar dari premis berkenaan mendapati keretanya tiada di kawasan parkir dan melihat kereta tersebut dipandu tertuduh tidak jauh dari situ.

Wanita berkenaan cuba menghalang namun tertuduh memecut laju kenderaan tersebut.

Pekerja premis berkenaan segera menghubungi polis dan tertuduh kemudian kembali ke parkir premis tersebut sebelum ditangkap oleh orang ramai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil manakala tertuduh diwakili peguam Khoo Kok Tong.

-- BERNAMA