Skip to main content

Malaysia

Pembantu kedai makan didenda RM100 keluar perkataan kesat ketika disaman polis

41744355779_courtgavel.jpg
Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu kedai makan didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana mengeluarkan perkataan kesat ketika disaman anggota polis atas kesalahan lalu lintas.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Syarifuddin Abd Latif, 25, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sehari sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan perkataan kesat terhadap seorang anggota polis lelaki berumur 27 tahun dengan tujuan untuk membangkitkan kemarahan, di Jalan Dato Senu 3, Sentul di sini, pada 8.24 pagi, 8 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal manakala tertuduh diwakili seorang peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sebelum ini, satu video tular di media sosial memaparkan kejadian seorang lelaki merakam dan melakukan provokasi ketika disaman anggota polis atas kesalahan lalu lintas.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement