Seorang pembantu rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru terhadap pertuduhan memperdagangkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun.

Tertuduh, Lai Siew Jze, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa atas dakwaan memperdagangkan anak kandungnya sendiri.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdagangkan anaknya yang bermaksud eksploitasi seks di bilik bernombor 1206, sebuah hotel di Jalan Tebrau Johor Bahru pada 20 September tahun lepas.

Pertuduhan tersebut dilakukan mengikut seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan 2007 yang boleh membawa peruntukan penjara tidak kurang daripada tiga tahun tetapi tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga didenda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Safiah Abd Aziz.

Terdahulu, Safiah memohon tidak dibenarkan sebarang jaminan kerana ia merupakan kes serius melibatkan kanak-kanak yang juga anak kandungnya.

Tertuduh bagaimanapun memohon diberikan jaminan dengan alasan perlu kembali bekerja di Australia sebagai pengasuh dan pembantu rumah bagi menyara keluarga di Sarawak.

Tertuduh juga menyatakan suaminya tidak bekerja.

Hakim, Kamarudin Kamsun kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk tidak memberikan jaminan.

Kes akan disebut semula pada 9 Oktober depan.