KOTA KINABALU: Pembayaran pemberian khas 40 peratus kepada Sabah dijangka dibincangkan pada mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Isnin ini.
Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata kerajaan negeri dan Persekutuan kini giat berunding bagi memastikan peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dapat disalurkan tahun ini.
“Kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sedang giat berunding untuk memastikan peruntukan yang diumumkan dapat dibayar pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Bulan Kebangsaan Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2026 di sini hari ini.
Kerajaan Negeri Sabah sebelum ini dilaporkan telah menerima RM600 juta daripada bayaran interim Pemberian Khas berjumlah RM1.5 bilion yang disalurkan Kerajaan Persekutuan pada 12 Jun lepas.
Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 20 Julai dimaklumkan bahawa kerajaan negeri telah memohon supaya baki RM900 juta disalurkan sepenuhnya pada tahun ini.
Mengulas sentimen kononnya Sabah dipinggirkan dalam aspek pembangunan, Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah mengajak rakyat negeri itu untuk menilai sumbangan masing-masing dalam memastikan Sabah terus berada dalam arus perdana pembangunan negara.
"Kita jangan sekadar merungut, tetapi pastikan sumbangan kita supaya dapat bersama-sama dalam arus pembangunan seluruh negara," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak rakyat Sabah mempamerkan semangat patriotisme dengan mengibarkan bendera bersempena dengan sambutan Hari Sabah dan Bulan Kebangsaan.
-- BERNAMA