Penduduk Kampung Bunga Raya, Subang membuat laporan polis agar siasatan dilakukan ke atas pihak pemaju, arkitek dan kerajaan negeri Selangor berikutan dakwaan berlaku penipuan dalam projek pembinaan rumah kos rendah di Jalan Pluto U5/139, Shah Alam.

Penduduk mendakwa pihak pemaju menggunakan bahan polistrin dalam pembinaan bagi menggantikan batu-bata.

Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia yang mewakili penduduk dan pembeli rumah flat kos rendah membuat laporan polis berkenaan kira-kira 3 petang di balai polis Kampung Baru Subang.

Mereka juga mengemukakan bukti berkaitan dakwaan penggunaan polistrin dalam bahan binaan.

“Waktu kerajaan Barisan Nasional, mereka guna batu-bata. Bila Pakatan ambil alih mereka guna polistrin tanpa pengetahuan pembeli,” Setiausaha Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia, R. Balan.

Mula dibina pada tahun 2004, projek berkenaan terbengkalai sebelum diambil alih syarikat pemaju baru pada tahun 2010.

Kira-kira 118 keluarga terjejas dan terpaksa tinggal di penempatan ini hampir 19 tahun sementara menunggu rumah siap.

Selain bimbang akan faktor keselamatan, penduduk juga merungut harga rumah kos rendah itu dinaikkan daripada 35 ribu seunit kepada 62 ribu ringgit seunit.

Dalam pada itu, satu memorandum juga akan dihantar kepada Sultan Selangor dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyelesaikan masalah itu.

Sementara itu, tinjauan Astro Awani di tapak projek perumahan berkenaan mendapati kerja-kerja pembinaan masih dijalankan.