Tawaran pembelian tanah RM1,000 sekaki persegi bagi pelan konsep pembangunan Kampong Bharu mungkin tidak dapat dilaksanakan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, berdasarkan taklimat daripada Perbadanan Kampong Pembangunan Bharu (PKB), tawaran itu sukar direalisasikan kerana tidak mendapat persetujuan semua pemilik tanah.

Menurutnya, kerajaan memerlukan persetujuan 100 peratus daripada pemilik tanah sebelum ia dapat dilaksanakan.

Tegasnya, beliau mengarahkan semua pihak terlibat supaya memberitahu segala maklumat terbaru kepada penduduk kerana masih ada yang menanti untuk menjual tanah mereka dengan harga RM1,000 sekaki.

“Kedua, tiada sumber setakat yang saya semak mencukupi untuk biayai RM7 bilion sekiranya kita mahu beli dengan cara sedemikian (RM1,000 sekaki persegi).

“Sumber tiada, kalau ada pun, penerimaan pembeli tak memungkinkan kita untuk beli,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Laluan Baharu Bas GoKL Parlimen Batu-Merah Manggis di sini pada Jumaat.

Tegasnya, beliau mengarahkan semua pihak terlibat supaya memberitahu segala maklumat terbaharu kepada penduduk kerana masih ada yang menanti untuk menjual tanah mereka dengan harga RM1,000 sekaki.

“Kita sekarang sedang gubal pendekatan baharu yang kita harap dapat tunjuk kepada pemilik tanah dalam sedikit masa lagi.

“Konsep yang akan dipakai organik sifatnya, tidak melibatkan orang luar beli tanah penduduk di sana tapi segala bentuk pembangunan melibatkan pemilik tanah itu sendiri,” ujarnya.

Tan Sri Annuar Musa

Pada 4 April lalu, Annuar berkata pembelian keseluruhan tanah di Kampong Bharu akan menelan hampir RM7 bilion.

Begitupun, isu pembelian tanah di kawasan itu masih belum mendapat keputusan majoriti dalam kalangan penduduk sama ada untuk meneruskan projek pembangunan yang dirancang sebelum ini atau sebaliknya.

Annuar sebelum ini berkata pihaknya menantikan laporan daripada pihak PKB untuk mendapatkan suara kolektif berhubung persetujuan pembangunan di kawasan itu.

Tegas Annuar lagi, kerajaan komited untuk membangunkan kawasan Kampong Bharu dan akan tampil dengan beberapa alternatif lain sekiranya idea asal itu tidak mendapat persetujuan majoriti penduduk.

Bagaimanapun katanya pemilikan harus kekal buat penduduk Melayu.