MALAYSIA
Pembenihan awan tidak sesuai buat masa ini - Saarani

Menurut Saarani, keputusan itu dibuat berdasarkan kajian dilakukan Nadma dan MetMalaysia melibatkan faktor teknikal seperti arah angin dan keadaan cuaca semasa. - Gambar fail
IPOH: Pembenihan awan bagi menangani masalah penyusutan paras air di Kolam Bukit Merah di Bagan Serai masih belum boleh dilakukan ketika ini, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan kajian dilakukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melibatkan faktor teknikal seperti arah angin dan keadaan cuaca semasa.
"Saya dimaklumkan Nadma telah mengambil inisiatif untuk mengkaji keperluan pembenihan awan, namun MetMalaysia menasihatkan bahawa keadaan sekarang tidak sesuai.
"Arah angin sukar ditentukan sama ada hujan boleh diturunkan dalam Tasik Bukit Merah. Jadi kalau begitu, kita tidak mahu ia menjadi sia-sia," katanya dalam sidang akhbar sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di sini pada Isnin.Beliau berkata, keputusan untuk melaksanakan kaedah pembenihan awan bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, sebaliknya perlu dirujuk kepada Kerajaan Persekutuan dan agensi teknikal berkaitan.
"Kalau kita ingat pada tahun 2022, pembenihan awan telah dilakukan tetapi hujan turun di kawasan perumahan dan bukan di kawasan tadahan Kolam Bukit Merah menyebabkan ketidakpuasan hati orang ramai," katanya.
Saarani berkata, dalam keadaan semasa, kerajaan negeri terpaksa bergantung kepada sumber air alternatif memandangkan paras air di Kolam Bukit Merah terus menyusut akibat cuaca panas yang berpanjangan sejak Mei lalu.
"Sungai yang tidak kering di bawah seliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) sedang digunakan sebagai sumber alternatif," katanya.
Mengulas mengenai projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, Saarani memaklumkan bahawa kerajaan negeri mendesak agar pelaksanaannya dipercepatkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Katanya, projek tersebut pada awalnya memang dirancang untuk membantu masalah pengairan di kawasan utara Perak yang berdepan masalah kekeringan dan kekurangan bekalan air pada setiap tahun.
"Apabila ada keperluan untuk Loji Rawatan Air bagi KIGIP (Taman Perindustrian Hijau Bersepadu) di Kerian dan permintaan dari Pulau Pinang, maka ia dipakejkan sekali.
"Secara kebetulan Rabu ini kita dipanggil mesyuarat. Kita harap Kerajaan Pusat percepatkan projek ini sebab setiap tahun kita berdepan isu sama," katanya.
Sementara itu, menurut makluman rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Empangan Bukit Merah pada Isnin telah berada pada Aras Kritikal Pengairan Tahap 3 dengan paras air semasa telah mencatat bacaan 6.111 meter (20.05 kaki).
Paras berkenaan mewajibkan pelaksanaan langkah pencatuan bekalan air ke kawasan sawah padi secara serta-merta.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami