Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari berpendapat tidak wujud sebarang desakan berkaitan isu status hak milik tanah 999 tahun kampung-kampung baharu di Perak memandangkan ia termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan negeri.

Beliau berkata, pelan perancangan berkaitan hak milik tanah itu telah diperincikan pada Jun lalu iaitu sebulan selepas Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan di Perak.

Katanya, pelan itu juga mengandungi beberapa langkah yang perlu dilakukan Pakatan Harapan agar ia berjalan lancar selain tidak melanggari peraturan sedia ada berhubung isu tersebut.

"Hak milik kekal itu dah disebut dalam manifesto jadi soal meneruskan tidak timbul kerana kita nak menunaikan janji.

"Macam di peringkat kerajaan pusat juga, kerajaan baharu dituntut untuk melaksanakan apa yang telah dijanjikan," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Pinjaman Pengajian Tinggi Kerajaan Negeri Sesi 2018/2019 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Isnin.

Selain itu, Abdul Aziz yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi percaya kekeliruan berkaitan isu pemilikan tanah itu sengaja ditimbulkan segelintir pihak tidak bertanggungjawab agar ia mengundang persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

Katanya, tidak timbul langsung isu ingin merampas tanah orang Melayu dan diberikan kepada orang Cina malah kerajaan juga tidak pernah berniat menghalau penduduk daripada penempatan yang telah didiami sejak puluhan tahun.

"Itu sebab dalam manifesto disebut perincian mengikut prosedur dan undang-undang yang ada. Perkara ini tak melibatkan tanah baharu sebaliknya tanah lama yang telah didiami mereka sejak puluhan tahun dulu.

"Bagi kita, perkara itu jelas tidak akan memberi kesan negatif kepada hasil kerajaan dan juga rakyat berbilang kaum yang ada di negeri ini," katanya.

Semalam, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dalam satu kenyataan berkata DAP Perak tidak pernah memberi tekanan kepada Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkaitan isu hak milik kekal tanah malah merupakan sebuah parti yang penuh bertanggungjawab, mempunyai hubungan mesra, sentiasa bekerja sebagai satu pasukan serta saling hormat menghormati.

Pada 13 Ogos lepas, Ahmad Faizal semasa menggulung perbahasan atas Titah Diraja pada Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 berkata pihaknya tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baharu kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) pada 25 April 1997 menetapkan tempoh pegangan pajakan bagi kampung-kampung baharu tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

-- BERNAMA