KUCHING: Formula Geran Pemberian Khas kepada Sarawak yang dituntut di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan telah dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hari ini.

Bagaimanapun formula tersebut katanya belum berkuat kuasa tahun ini tetapi Sarawak akan menerima sumbangan geran lebih RM300 juta bagi tahun 2023, iaitu hampir 19 kali ganda berbanding geran RM16 juta sebelum ini. 

“Jadi untuk peringkat awal, Premier menekankan satu kaedah yang kita tetapkan formula yang jelas. Saya dalam mesyuarat tadi bersetuju formula jelas, tetapi peringkat awal ini kita beri sekitar RM16 juta itu naik sekitar RM300 juta sebagai satu sumbangan tetapi ini tertakluk kepada formula ditetapkan.

“Apa kebijaksanaan formula? Bermakna kita jangan terikat dengan RM300 juta itu kerana kedudukan kewangan yang terbatas dan harus diperinci, dicerakin supaya formula itu boleh diterima pakai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Dewan Undangan Negeri Sarawak dekat sini pada Jumaat.

Dalam pada itu Anwar menzahirkan keyakinannya bahawa banyak lagi tuntutan MA63 akan dapat dilunaskan di bawah tampuk pimpinannya dengan tekad politik berintegriti bagi menghormati komitmen dan perjanjian yang ditandatangani pemimpin terdahulu.

“Yang tertunggak tu sangat kecil, tinggal 112D itu pun dari segi persetujuan awal sudah dicapai, kaedah sudah dicapai. Saya beritahu dalam mesyuarat jemaah menteri yang pertama dan TPM Fadillah Yusof untuk mempengerusikan Jawatankuasa Teknikal, dan sentiasa hubungi Premier dan Ketua Menteri, ini bagi saya bukan masalah.

“Tengok tujuh, lapan isu itu kita bereskan dalam masa yang sangat singkat, kena fikir kita belum sampai dua bulan pentadbiran,” tambahnya.