KOTA KINABALU: Kerajaan bersetuju menaikkan segera pemberian khas kepada Sabah kepada RM1.5 bilion, sebagai langkah interim sementara rundingan mengenai formula baharu pemberian khas itu diteruskan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah RM1.5 bilion itu dijangka dapat disalurkan pada tahun ini, selepas kertas berkaitan dibentangkan di Parlimen pada Oktober.
Katanya, bayaran itu dijangka dibuat selewat-lewatnya akhir Oktober atau awal November.
Anwar berkata kerajaan perlu mengambil kira kedudukan kewangan negara dalam menentukan formula pemberian khas berkenaan, termasuk menetapkan jumlah minimum dan maksimum yang munasabah.
“Untuk itu, saya telah setuju untuk menambah segera mulai tahun ini ke 1.5 bilion ringgit sebagai langkah interim.
“Perundingan diteruskan dan mengambil kira juga kedudukan kewangan seperti mana dalam perjanjian awal,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kota Kinabalu hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memberi bayangan Sarawak turut akan dipertimbangkan untuk menerima langkah interim yang sama, meskipun kedudukannya berbeza dari segi peruntukan Perlembagaan.
“Negeri Sarawak saya ingat walaupun tidak termasuk dalam peruntukan perlembagaan, tetapi semangat yang sama harus diperkirakan.
“Oleh itu, saya akan terus bincang dalam beberapa hari dengan Premier. Mudah-mudahan sebaik hari 16 September, Hari Malaysia di Kuching saya boleh umumkan juga langkah interim untuk Sarawak,” katanya.
Menurut Anwar, Sarawak turut mengemukakan pandangan mengenai formula pemberian yang mengambil kira kedudukan kewangan dan keupayaan kerajaan Persekutuan, selain menetapkan kadar minimum serta maksimum.
Beliau bersetuju supaya Kementerian Kewangan bersama Kementerian Kewangan Sarawak membincangkan cadangan memperkenalkan formula berkenaan.