Walaupun mereka mempunyai fahaman politik berbeza, ramai yang tidak tahu pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sebenarnya mempunyai pemikiran yang sama dalam pelbagai isu.

Antaranya ialah pemberian subsidi, di mana mereka bersetuju ia harus diberikan kepada golongan bersasar secara berperingkat-peringkat.

Kedua-dua pemimpin berkongsi pendapat dalam program ‘NST Insight Forum’ anjuran akhbar New Straits Times di Balai Berita di sini pada Khamis.

“Apa-apa perubahan yang dilakukan harus dilakukan secara berperingkat-peringkat kerana susunan perubahan tersebut adalah penting.

“Kita perlu menambah baik pengangkutan awam kerana buat masa ini, kita masih terlalu bergantung kepada kereta.

“Jika memandu itu bukan keperluan tetapi kemewahan, maka kita boleh memansuhkan subsidi tersebut,” kata Liew Chin Tong di forum tersebut.

Khairi Jamaluddin turut bersetuju dengan dengan cadangan Liew untuk memberi subsidi kepada pengangkutan awam daripada memberi subsidi pukal seperti subsidi minyak kepada semua lapisan masyarakat.

Beliau juga mencadangkan supaya subsidi pukal tidak diamalkan dan kembali kepada sistem subsidi yang bersasar.

“Subsidi minyak sekarang adalah regresif kerana ia memberi manfaat kepada mereka yang berpendapatan tinggi daripada golongan yang lebih kurang berpendapatan.

“Mengapa kita perlu memberi subsidi kepada golongan ini?

“Kita boleh mengelak daripada memberi subsidi kepada golongan kaya adalah dengan tidak mengamalkan sistem pukal yang ada, sebaliknya kembali kepada sistem subsidi yang bersasar,” tambahnya.

Pada permulaan forum itu, Khairy turut berkata jangan harapkan sebarang pertelingkahan kerana kedua-dua pemimpin ini mempunyai pemikiran yang sama dalam banyak isu.

“Saya bersetuju dengan Chin Tong dalam pelbagai isu dan jika anda ke majlis ini untuk melihat pertelingkahan, anda akan kecewa kerana kami sebenarnya mempunyai pemikiran yang sama dalam banyak isu,” kata Khairy lagi.