KUALA LUMPUR: Pemberian vaksin COVID-19 berbeza kepada penerima hanya akan ditentukan selepas Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-‚Äč19 (JKJAV) berpuas hati dengan keberkesanannya.

Menteri Penyelaras Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin menjelaskan, ketika ini, kajian teknikal masih dijalankan jawatankuasa berkenaan untuk memastikan keberkesanan penggunaan vaksin berbeza kepada penerima.

"Jawatankuasa teknikal sedang kaji pemberian vaksin berbeza tetapi kita tidak buat apa-apa keputusan, Sepanyol, Jerman dan Korea Selatan sudah buat (kombinasi) vaksin AstraZeneca dan Pfizer.

"Kita harap bekalan AstraZeneca tiada gangguan, kalau tiada gangguan kita boleh teruskan dengan pemberian dos kedua," katanya ketika ditemui media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil pada Isnin.

Tambah Khairy, beliau menghadiri mesyuarat berhubung kemas kini data daripada negara-negara lain mengenai penggunaan vaksin berbeza pada Rabu ini.

"Jika Jawatankuasa Teknikal selesa dan merasakan ia berkesan, baru kita akan pertimbangkan (penggunaan vaksin berbeza)," katanya lagi.

Mengulas mengenai PPV Stadium Nasional Bukit Jalil, jelas Khairy, sebanyak 3,000 vaksin diberikan dalam tempoh tiga hari sebelum dinaikkan kepada 10,000 dos sehari.