SHAH ALAM: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) memerlukan kira-kira seminggu lagi untuk menyelesaikan kerja-kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, yang setakat ini telah mencapai 35 peratus.

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir berkata Taman Sri Muda menjadi tumpuan pihaknya memandangkan kawasan itu paling teruk terjejas, selain mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

"Taman Sri Muda ini amat luas iaitu ada 9,071 buah rumah dan 179 kilang, serta kita menganggarkan setiap rumah memerlukan satu tong sampah RORO (roll on roll off) untuk mengeluarkan sampah pascabanjir mereka, jadi saya berharap semua penduduk dapat bersabar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Sri Muda hari ini.

Beliau berkata pihaknya mula melakukan kerja pembersihan setelah air surut dan laluan dibuka bagi jentera pembersihan serta kutipan sejak 25 Dis lepas dan sehingga kini, kira-kira 5,000 tan sampah berjaya dikeluarkan.

Ramli berkata pihaknya bekerja dari awal pagi hingga 12 tengah malam, melibatkan 90 buah lori dan lebih 400 pekerja pembersihan serta beberapa jentera pengaut, bagi melancarkan dan mempercepatkan proses pembersihan di kawasan tersebut.

Selain Taman Sri Muda, beliau berkata KDEBWM turut memberi tumpuan pada kawasan kritikal lain termasuk Padang Jawa di Shah Alam, Taman Sri Nanding dan Sungai Lui di Hulu Langat, Kampung Bukit Lanchong di Subang Jaya dan Bukit Changgang di Kuala Langat.

Katanya, proses pembersihan di kawasan-kawasan berkenaan juga memerlukan tempoh seminggu lagi dan secara keseluruhan, syarikat itu telah mengutip lebih 22,000 tan sampah pascabanjir di seluruh Selangor.

-- BERNAMA