KUALA LUMPUR: Para pembikin filem tempatan diajak untuk bersama menjayakan usaha memerangi jenayah cetak rompak secara digital menerusi program Penguatkuasaan Hakmilik Siber atau ‘Cyber Copyright Enforcement' CyCORE.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, inisiatif itu merupakan kaedah terancang untuk menyekat kegiatan muat naik dan muat turun filem secara haram di internet.

Usaha itu melibatkan kerjasama lebih 50 rakan strategik, antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), penyedia perkhidmatan internet serta platform-platform e-dagang.

“Ia berfungsi melalui kaedah tindakan sekatan laman sesawang (website blocking) dan penurunan kandungan (content removal) dan juga tindakan paling pantas dan berkesan untuk melumpuhkan aktiviti cetak rompak digital tanpa melibatkan institusi kehakiman.

“Sasaran kita adalah kandungan diturunkan dalam masa empat hingga 48 jam selepas mendapat laporan daripada pemilik hak cipta yang menyertai CyCORE ini.

“Sebab itu kita galakkan mereka menyertainya.”

Sejak dilancarkan pada 2021 hingga Mac tahun ini, dicatatkan sebanyak 21 filem tempatan telah menyertai CyCORE dan 306 laman sesawang telah disekat serta 1,902 penurunan kandungan di laman sosial telah dibuat.

Justeru kerjasama dengan lebih ramai pembikin dan lebih banyak pihak berkaitan amat diharap untuk mempertingkat keberkesanan program ini untuk mengatasi jenayah yang telah wujud sekian lama itu.

Mereka yang ingin menyertai program ini boleh hubungi Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP di talian 03-8882 6157 atau hantarkan emel ke [email protected].

Tonton temu bual penuh bersama Menteri KPDNHEP dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Dzulfitri Yusop, di sini:

Agenda AWANI: Pantau, kawal dan penguatkuasaan