KUANTAN: Pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini yang merupakan salah satu projek berskala besar di Pahang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia selaku pelaksana, kini sedang dalam peringkat akhir bagi melantik kontraktor utama yang dijangka selesai pada Jun nanti.

"Untuk projek ini yang akan dibina di atas tapak seluas 12.5 hektar dengan kapasiti 376 buah katil itu dijangka dapat memberikan manfaat kepada lebih 564,000 penduduk di daerah berkenaan dan daerah-daerah berdekatan.

"Pihak JKR sedang dalam peringkat akhir bagi melantik kontraktor utama yang dijangkakan insya-Allah perkara ini kita akan laksanakan dalam bukan akhir Jun akhir tahun ini," katanya.

Projek tersebut antara lain merangkumi komponen seperti unit Kecemasan, Klinik Pakar, Pusat Jagaan, Wad O&G, Wad Pediatrik Umum, Wad Pembedahan Pediatrik, ICU dan pelbagai komponen sokongan lain.

"Sebenarnya ramai ahli-ahli Parlimen yang minta hospital baharu tetapi kita kena tengok juga sama ada ada keperluan ke tidak sebab kita ada sistem-sistem macam contoh sistem kluster dan sebagainya yang sebenarnya ada leading hospital yang boleh boleh juga servis kepada hospital-hospital yang diperlukan," kata Dr Zaliha.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan siri kedua Lawatan Kerja ke Fasiliti Kesihatan Negeri Pahang di Hospital Tengku Ampuan Afzan, pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, Datuk Dr Norhayati Rusli; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Nor Azimi Yunus; dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Lawatan kerja ini bertujuan untuk meninjau dengan lebih dekat keadaan semasa fasiliti kesihatan selain memantau perkembangan penyampaian perkhidmatan kesihatan terutamanya perkhidmatan di peringkat ‘primary healthcare’ di negeri itu.  

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, penambahan keperluan fasiliti kesihatan di setiap daerah akan terus diteliti bagi memastikan kebajikan masyarakat setempat terjamin.

"Kita memberikan sejumlah RM1.12 bilion untuk Pahang dan dia merangkumi beberapa perkara termasuklah klinik-klinik daif, peralatan-peralatan yang perlu diperbaiki dan bangunan-bangunan yang mungkin memerlukan pembaikan juga.   

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM12.9 juta diperuntukkan bagi 42 klinik berstatus daif di seluruh negeri di bawah Inisiatif Pembaikan Klinik Daif.

"Setakat ini, 41 klinik telah memulakan kerja-kerja pelaksana pembaikan dan dijangka siap pada minggu pertama bulan Disember tahun ini. Manakala, bakinya masih dalam proses perolehan dan akan selesai dalam bulan Jun ini," katanya lagi.