Skip to main content

Malaysia

Pembinaan semula bangunan daif SK Felda Kota Gelanggi 1 siap hampir setahun lebih awal

SK Felda Kota Gelanggi 1 -- ANL Media
Alexander ketika meninjau SK Felda Kota Gelanggi 1 hari ini. - Gambar/ ANL Media
Advertisement

JERANTUT: Projek pembinaan semula bangunan daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi 1 di sini berjaya disiapkan 310 hari lebih awal daripada jadual asal, membolehkan murid menikmati kemudahan pembelajaran lebih selesa.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kejayaan menyiapkan projek bernilai RM7.998 juta itu tanpa sebarang lanjutan masa (EOT) mencerminkan prestasi baik dalam pelaksanaan projek kerajaan.

“Projek bermula pada 13 Jan tahun lepas dan siap pada 26 Jun 2026 berbanding tarikh asal 2 Mei 2027. Projek ini siap lebih 300 hari awal. Ini pencapaian yang sangat baik,” katanya kepada pemberita di sekolah itu hari ini. 

Projek itu merangkumi pembinaan sebuah blok akademik baharu menyediakan tiga bilik darjah, bilik sains dan bilik kesihatan selain blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) lengkap dengan kemudahan bagi murid berkeperluan pendidikan khas.

Beliau berkata sebanyak 17 murid berkeperluan pendidikan khas akan mendapat manfaat tersebut.

Selain itu, Alexander berkata beberapa lagi projek pembinaan dan naik taraf bangunan daif di Pahang sedang dilaksanakan dan pihaknya berharap projek tersebut turut dapat disiapkan lebih awal daripada jadual.

Dalam ucapan perasmiannya, Alexander menyeru kontraktor untuk memastikan setiap aduan kecacatan sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) ditangani dengan segera dan berkesan.

“Jabatan Kerja Raya pula perlu meneruskan pemantauan pascapenyerahan bagi memastikan semua kemudahan kekal selamat, baik dan memenuhi piawaian,” katanya. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement