SEPANG: Routes Asia 2024 (Routes 2024) yang akan diadakan di Langkawi bermula hari ini hingga 29 Februari, akan menyediakan lokasi pertemuan kepada pembuat keputusan dalam syarikat penerbangan untuk berunding mengenai perkhidmatan udara baharu dan sedia ada dengan rakan syarikat penerbangan dan destinasi mereka.

Pengarah Penganjur Persidangan Penerbangan Routes, Steven Small berkata acara itu akan menghimpunkan lebih 900 pembuat keputusan daripada syarikat penerbangan, lapangan terbang dan destinasi untuk menentukan kesalinghubungan udara pada masa hadapan.

Routes dalam kenyataan berkata wakil daripada 10 syarikat penerbangan terbaik China mengikut tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) akan menghadiri acara tersebut.

"Selepas memegang sebahagian besar daripada permintaan penumpang udara global sebelum pandemik, Air China, China Eastern, China Southern, Hainan Airlines dan Shandong Airlines akan menilai cadangan daripada lapangan terbang pada acara itu untuk memastikan pasaran mana yang perlu diutamakan dalam pemulihan mereka," katanya.

Acara Routes pada tahun ini yang memasuki edisi ke-20 dihoskan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Tourism Malaysia.

"Selepas menjadi tuan rumah bagi tiga edisi pertama acara (2003-2005) ini, destinasi ini akan memanfaatkan platform berkenaan untuk meningkatkan kesalinghubungan antarabangsa secara terus ke Langkawi dan Malaysia secara keseluruhannya," kata Routes.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MAHB Mohamed Rastam Shahrom berkata Routes Asia telah menjadi platform yang amat diperlukan untuk memupuk kerjasama, meneroka peluang baharu dan memacu inovasi dalam landskap penerbangan dinamik di rantau Asia Pasifik.

"Bagi Malaysia Airports, kami berharap dapat membawa syarikat penerbangan baharu ke rangkaian lapangan terbang kami, dan menggalakkan yang lain untuk memulakan laluan baharu atau kembali ke Malaysia," katanya.

Naib presiden dan ketua perancangan rangkaian daripada 110 syarikat penerbangan terkemuka dan paling pesat berkembang di rantau ini akan terlibat menyertai lebih 3,500 mesyuarat dengan wakil lapangan terbang dan destinasi untuk mengenal pasti peluang laluan baharu.

Syarikat penerbangan yang turut serta termasuk Air India, AirAsia Group, Etihad Airways, Japan Airlines, Qantas, Thai Airways dan Vietnam Airlines

-- BERNAMA