KUALA LUMPUR: Pembukaan semula sesi persekolahan secara berperingkat bermula 1 September ini perlu diteliti secara menyeluruh dan tidak perlu ditangguh sehingga semua pelajar divaksin.

Namun begitu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berpendapat, sebaiknya adalah memastikan semua guru dan kakitangan sudah menerima vaksin yang lengkap sebelum sesi persekolahan bermula.

"Apa yang perlu dipastikan ialah guru-guru dan kakitangan sekolah lengkap divaksin, dan saya lihat proses itu sudah berjalan sekarang dengan lancar ketika ini.

"Tetapi bagi kes remaja atau kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan atau obesiti, perlu diberi perhatian dan mungkin mereka perlu divaksin sebelum kembali ke sekolah. Tetapi bagi pelajar lain, tidak perlulah tunggu semua divaksin barulah sekolah dibuka," katanya kepada Astro AWANI.

Dr Syed Mohamed Aljunid juga menegaskan perkara ini perlu dinilai dengan teliti terutama sekali kerana Malaysia sebagai sebuah negara membangun, turut berdepan dengan risiko kekurangan bekalan vaksin.

"Kerajaan sudah umumkan akan menilai kemungkinan mewajibkan vaksin, jadi pemberian vaksin kepada remaja dan kanak-kanak perlu dilihat bagi memastikan tiada isu bekalan vaksin tidak mencukupi

"Tetapi saya lihat banyak usaha dijalankan ketika ini untuk dapatkan vaksin khususnya kerjasama dengan China untuk vaksin Sinovac.

"Selain bekalan, faktor proses pemberian vaksin kepada remaja dan kanak-kanak juga perlu dinilai sewajarnya," ujarnya.

Beliau juga memahami kebimbangan ibu bapa namun dalam masa yang sama melihat manfaat untuk anak-anak apabila kembali ke sekolah.

"Anak-anak perlu kembali ke sekolah kerana pembelajaran di sekolah penting untuk perkembangan minda mereka.

"Kita faham kebimbangan itu tetapi ibu bapa perlu faham yang risiko untuk berlaku jangkitan dalam kalangan pelajar adalah rendah. Dan jika ibu bapa sendiri sudah divaksin, itu lebih mengurangkan lagi risiko.

"Manfaat pembelajaran di sekolah jauh lebih tinggi daripada risiko jangkitan," katanya lagi.


Vaksin COVID-19 | Vaksinasi untuk remaja 12 hingga 17 tahun akan dimulakan