Kejadiaan pembunuhan menggunakan senjata api yang dilihat semakin berleluasa terutama melibatkan mangsa golongan berprofil tinggi harus diberi perhatian serius oleh polis.

Hari ini sahaja, dua kes tembak dilaporkan -- satu di ibu negara dan satu di Bukit Mertajam -- menyebabkan seorang maut dan dua cedera. Yang terbunuh dalam kejadian hari ini ialah Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi.

Satu lagi kejadian dilaporkan di Ipoh, Perak malam tadi menyebabkan seorang lelaki maut dan dua parah ditembak oleh lelaki yang menaiki sebuah kereta ketika ketiga-tiga mereka sedang minum di bahagian luar sebuah restoran di Kampung Simee di sini pada 10.15 malam.

Khuatir dengan trend itu, Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar berkata kepada Bernama kejadian seperti itu memberi gambaran yang kurang elok terhadap tahap keselamatan di negara ini.

Tambahan pula kes pembunuhan golongan berprofil tinggi sering dikaitkan dengan dakwaan wujudnya pembunuh upahan tetapi tiada pembunuh upahan yang ditangkap atau didakwa setakat ini (pada tahun ini), kata Akhbar.

"Penguatkuasa perlu menyiasat dan menyelesaikan dengan segera kes-kes tembak yang melibatkan individu berprofil tinggi," katanya.

Beliau mengulas mengenai kejadian Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi maut manakala isterinya cedera parah ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di sini hari ini.

Kejadian itu berlaku dua hari selepas aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Selain Sanjeevan, seorang lagi mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi ialah Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim yang ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 26 April.

Sehubungan itu, Akhbar mengesyorkan pihak berkuasa meningkatkan usaha membanteras penyeludupan senjata api yang menyumbang kepada peningkatan kes pembunuhan termasuk kononnya oleh pembunuh upahan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini berkata pasukannya telah mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab membawa masuk senjata api ke negara ini berikutan kejayaan pasukan khas merampas sejumlah senjata api dalam tempoh dua minggu ini.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan senjata api itu dibawa masuk dari negara jiran dan tidak mendedahkan jumlah rampasan senjata.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu pasukan khas sejak kejadian kes pembunuh upahan menggunakan senjata api semakin berleluasa.

Menurut rekod Bukit Aman, sepanjang 2012 Selangor mencatat peningkatan tertinggi kes membabitkan penggunaan senjata api diikuti Pulau Pinang, Kedah, ibu negara dan Kelantan.

Selain kes tembak yang disebut di atas, terdapat kejadian tembakan melibatkan orang awam lain, antaranya:
Sepanjang bulan April pula, sebanyak 10 kes tembak melibatkan kematian dan cedera dilaporkan media.