Pembunuhan Jong Nam: Polis tidak pasti dakwaan dua suspek bersembunyi di kedutaan - Khalid

Bernama
Februari 22, 2017 14:42 MYT
Media asing melaporkan bahawa kedua-dua suspek dikenali sebagai Hyon Kwang-song, 44, dan Kim Uk-il, 37, dipercayai "bersembunyi" dalam bangunan kedutaan. - Foto Bernama
Polis belum dapat mengesahkan dakwaan bahawa dua suspek yang dicari untuk membantu siasatan pembunuhan Kim Jong Nam sedang "bersembunyi" di Kedutaan Korea Utara di sini.
"Kita tak pasti sama ada dia bersembunyi di kedutaan atau tidak...kita panggil dia untuk bantu siasatan kitalah. Kita tunggulah jawapan," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada Bernama ketika dihubungi.
Media asing melaporkan bahawa kedua-dua suspek dikenali sebagai Hyon Kwang Song, 44, dan Kim Uk Il, 37, dipercayai "bersembunyi" dalam bangunan kedutaan.
Kedua-dua mereka bersama suspek ketiga dikenal pasti sebagai Ri Ji U, 30, juga dikenali sebagai James, dipercayai masih berada di negara ini. Keberadaan Ji U juga tidak diketahui.
BACA: Status Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara jadi teka-teki
BACA: Tiada kerjasama langsung dari pihak kedutaan Korea Utara - KPN
BACA: Dua suspek wanita bunuh Jong Nam terlatih
Kwang-song ialah Setiausaha Kedua di kedutaan dan Uk Il ialah kakitangan syarikat penerbangan Korea Utara Koryo Air, kata Khalid pada sidang media sebelumnya.
Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, meninggal dunia selepas diserang pada 13 Feb oleh dua wanita yang yang dilaporkan menyapu mukanya dengan apa yang dipercayai cecair beracun.
Susulan serangan itu, polis Malaysia menahan empat suspek - seorang wanita menggunakan pasport Vietnam, seorang wanita warga Indonesia, seorang lelaki rakyat Malaysia dan seorang lelaki warga Korea Utara. Lelaki warga Malaysia itu dibebaskan dengan jaminan polis.
Sebelum itu, dilaporkan bahawa polis sedang memburu tujuh suspek rakyat Korea Utara - empat daripada mereka dikatakan telah meninggalkan Malaysia pada hari Jong Nam diserang semasa menunggu untuk menaiki penerbangan ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2).
Jong Nam tiba di Malaysia pada 6 Feb dan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol.
Lebih 50 petugas media telah berkumpul di hadapan kedutaan itu tengah hari tadi untuk mendapatkan komen daripada para pegawai kedutaan susulan sidang media Khalid dan khabar angin bahawa kedua-dua suspek bersembunyi di premis tersebut. -- Bernama
#dibunuh di KLIA #dibunuh di Malaysia #Hyon Kwang-song #Khalid Abu Bakar #kim jong nam #Kim Jong-un #Kim Uk-il #Pemimpin Korea Utara #polis Malaysia