PETALING JAYA: Seekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibawa memasuki Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai di sini, dipercayai bagi melakukan pemeriksaan pada hari keenam siasatan kes pembunuhan kanak-kanak austistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Anjing tersebut dilihat memasuki blok kediaman mangsa sekitar jam 5.10 petang bersama beberapa anggota polis.

Haiwan itu kemudian dilihat meninggalkan lokasi kira-kira 5.45 petang, selepas 25 minit berada dalam kawasan blok tersebut.

Polis ketika ini sedang giat mengesan petunjuk baharu bagi menjejaki penjenayah yang membunuh Allahyarham Zayn Rayyan, 6.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Unit Forensik PDRM berada di lokasi kejadian bagi membantu operasi menyedut air di kawasan anak sungai berdekatan mayat mangsa ditemukan.

Bagaimanapun, operasi itu yang turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ditangguhkan susulan hujan lebat.

Operasi tersebut dijadual bersambunh semula esok.

Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, kira-kira pukul 10 malam.

Kematian Zayn Rayyan kemudian diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.