MALAYSIA
FINAS bekerjasama dengan KWSP, Perkeso perkukuh perlindungan sosial penggiat seni

Hans Isaac (tiga, kanan) bersama pelakon dan pelawak veteran, Sharizan Ahmad (dua, kiri) pada majlis penyampaian sijil caruman Perkeso dan sijil keahlian KWSP kepada penggiat industri kreatif di FINAS pada Jumaat. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memperkukuh perlindungan sosial penggiat seni tanah air menerusi kerjasama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan sokongan daripada Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA).
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata kerjasama itu membolehkan penggiat seni menyertai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SPSPS) di bawah Perkeso serta skim i-Saraan KWSP sebagai pelaburan jangka panjang demi masa depan dan kebajikan mereka.
Beliau berkata setakat ini, sebanyak 200 artis veteran telah diluluskan untuk menerima caruman di bawah SKSPS Perkeso.
"FINAS juga menaja pembukaan 1,000 akaun i-Saraan KWSP. Kuota ini dibuka sehingga September 2025 dengan keutamaan kepada penggiat yang belum pernah mendaftar," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sijil caruman Perkeso dan sijil keahlian KWSP kepada penggiat industri di sini, pada Jumaat.Pada majlis itu, seramai 20 artis veteran menerima sijil caruman PERKESO manakala 20 orang penggiat industri kreatif menerima sijil pembukaan akaun i-Saraan KWSP.
Selain itu, Azmir Saifuddin berkata pihaknya sedang meneliti cadangan pemberian insentif khas atau dana khusus untuk artis veteran bagi memastikan mereka terus berkarya dan menyumbang kepada industri.
"Pindaan Akta FINAS akan dibentangkan di Parlimen pada masa hadapan dengan penekanan terhadap kebajikan pekerja produksi termasuk perlindungan insurans dan caruman wajib melalui lesen penggambaran serta Sijil Perakuan Penggambaran (SPP)," katanya.
Berdasarkan data Perkeso, keahlian penggiat seni meningkat ketara daripada 690 orang pada 2020 kepada 9,000 pada 2024 dan caruman i-Saraan industri seni mencecah RM23 juta membabitkan 3,900 pekerja dengan simpanan terkumpul sebanyak RM231 juta.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami