KUALA LUMPUR: Pemburuan dan penggunaan jerat haram merupakan punca utama berlakunya konflik antara spesies Harimau Malaya dan manusia.

Ahli Biologi Lapangan Kanan, Dana Hidupan Liar Dunia (WWF) Malaysia, Muhamad Afif Wafiy Mohamad Taib berkata gangguan kepada ekosistem habitat asal spesies harimau ini telah memaksa haiwan berkenaan mendekati perkampungan orang asli di pinggir hutan.

“Antara faktor-faktor yang boleh mendorong kepada konflik ini ialah pemburuan haram. Apabila kita bicara tentang pemburuan haram, jerat dan senjata api digunakan. Jerat ini tidak mengenal sebarang spesies. Katakanlah penjerat ingin sasarkan harimau, tetapi ada haiwan lain yang terperangkap. Di situlah betapa binasanya jerat ini.

“Apabila kawasan rayau ini diganggu sehingga berkurangnya sumber makanan di habitat asal, maka harimau beralih kepada sumber yang mudah didapati iaitu ternakan orang-orang kampung di pinggir hutan. Di situlah berlakunya konflik (harimau-manusia),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Tambah Wafiy, faktor lain kepada konflik antara Harimau Malaya dan manusia ialah kemusnahan habitat dan aktiviti guna tanah.

Aktiviti-aktiviti manusia ini telah menyebabkan Harimau Malaya berhijrah ke kawasan yang berpendudukan. Pada masa yang sama telah menyebabkan kematian haiwan-haiwan yang menjadi sumber makanan harimau.

Oleh itu, WWF Malaysia mencadangkan agar kampung-kampung orang asli dipasangkan sistem amaran awal untuk mengelakkan berlakunya pertembungan antara penduduk dan Harimau Malaya.

Jelasnya, perlu wujud toleransi dengan spesies berkenaan yang semakin terancam dengan hanya kurang 150 ekor masih di habitat asal dalam negara.

Pemburuan haram, jerat punca konflik harimau-manusia - WWF