MALAYSIA
Pemergian Dr Md. Farid satu kehilangan besar - Waytha Moorthy

Menurut Waytha, adalah seorang yang komited dan bekerja keras untuk menghadiri banyak aktiviti. - Gambar fail
Pemergian Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr Md. Farid Md Rafik, 42, yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merupakan satu kehilangan besar kepada kementerian terbabit terutama bagi portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.
Jelas menterinya, P. Waytha Moorthy, Allahyarham adalah seorang individu yang sangat bekerja keras dan komited dalam menjalankan tugas serta amanah yang diberikan sebagai seorang Timbalan Menteri.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Dr Farid dan berharap agar mereka sentiasa bersabar dengan pemergiannya..
"Pemergian beliau adalah satu kehilangan yang besar kepada Jabatan Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, beliau adalah seorang yang komited, bekerja keras untuk hadiri banyak aktiviti, jadi saya juga ambil kesempatan ini untuk ucapkan takziah kepada keluarga beliau," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelepasan Walk For Peace di Taman Jubli Emas, Suka Menanti, pada Sabtu.
Jelas Mukhriz, Allahyarham adalah seorang individu yang sangat komited dengan kementerian dan parti selain senang didekati rakyat.
"Saya sangat terkejut menerima berita yang sedih itu, sebelum ini pun beliau kerap datang ke Kedah, dalam program kementerian dan Allayarham adalah seorang yang baik hati, sangat senang didekati, mudah kira lah orang kata kan," katanya di majlis yang sama.
Dr Md. Farid sebelum ini memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum ke-14, selepas menewaskan penyandangnya, Datul Seri Wee Jeck Seng dari Barisan Nasional dengan memperoleh 21,255 undi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami